APABILA pelakon utamanya Paul Walker meninggal dunia akibat kemalangan pada 1 Disember 2013 lalu, projek filem Fast and Furiuos 7 dikhabarkan diberhentikan penggambarannya apabila keseluruhan jalan ceritanya terpaksa dirombak semula.
Bagaimanapun kebimbangan peminat siri ini terhadap kemungkinan tidak akan dapat menyaksikan lagi filem ini terubat apabila dilaporkan filem aksi yang memasuki siri ketujuh yang turut dikenali sebagai Fast 7 akan diteruskan penggambarannya.
Pengarahnya, James Wan menegaskan walaupun ramai yang masih bersedih dengan kehilangan Walker yang dianggap sebagai ikon siri filem ini namun semangat yang ditunjukkan krew dan pelakon yang terlibat dalam penggambaran filem ini membuatkan dia meneruskan kembali penggambaran Fast 7.
Malah melihat kejayaan yang diterima daripada enam episod Fast and Furiuos sebelum ini, Wan percaya francais edisi ketujuh ini perlu diteruskan.
Menurut Wan, keseluruhan jalan cerita filem edisi terbaru ini dirombak dan diubah agar bersesuaian dengan ketiadaan watak yang dilakonkan oleh Walker.
Filem ini telah menjalani proses penggambarannya pada pertengahan September lalu di beberapa bahagian di Atlanta, Georgia Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, Abu Dhabi juga telah dipilih sebagai salah satu lokasi untuk penggambaran filem ini. Dikatakan hampir 30 peratus bahagian filem Fast 7 di ibu kota Dubai itu.
Sebelum kematian Paul, filem ini telah melalui proses penggambarannya di sebuah lebuh raya yang dikenali sebagai Peak Highway di Colorado, AS bagi beberapa babak perlumbaan kereta dan difahamkan penggambarannya terhenti di situ.
Optimis
Sambil menegaskan bahawa ini mungkin siri terakhir filem ini, adik kepada Paul Walker iaitu Cody Walker yang sebelum ini pernah menjadi pelagak ngeri beberapa filem hebat Hollywood dipilih sebagai pengganti abangnya.